Sabtu, 7 Julai 2012

PROGRAM KECEMERLANGAN AKADEMIK SMP & UTUSAN MALAYSIA


Kerjasama SMP-Utusan Malaysia jayakan Program Kecemerlangan Akademik


Noraini Nordin (tengah) menyerahkan borang kerjasama kepada Wahid Hashim sambil diperhatikan wakil-wakil Sekretariat Malaysia Prihatin dan Utusan Malaysia pada Majlis Menandatangani Dokumen Kerjasama antara kedua-dua belah pihak di Sekretariat Malaysia Prihatin, Phileo Damansara, Petaling Jaya, kelmarin.
PETALING JAYA 26 Jun - Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP) menandatangani dokumen kerjasama dengan Utusan Melayu (M) Berhad bagi menjayakan Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi yang akan diadakan bermula Julai ini.
Pengurus Besar SMP, Noraini Nordin berkata, program anjuran SMP yang akan dibantu sepenuhnya oleh Portal Pendidikan, Utusan Malaysia itu disasarkan kepada pelajar yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
"Kerjasama ini merupakan usaha yang bermatlamat mempertingkatkan pencapaian akademik para pelajar sederhana namun berpotensi untuk cemerlang dalam peperiksaan terutamanya pelajar kurang berkemampuan dari kawasan luar bandar di sekolah-sekolah terpilih dari Perak, Negeri Sembilan, Kelantan dan Pulau Pinang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis menandatangani dokumen kerjasama antara SMP dan Utusan Malaysia di ibu pejabat SMP di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarang Portal Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim dan juga pakar motivasi, Dr. Ismail Zain.
Menurut Noraini, program yang akan bermula pada Julai hingga September tahun ini bakal melibatkan 300 sekolah rendah dan menengah dari 11 lokasi dengan penyertaan kira-kira 2,500 pelajar secara keseluruhannya.
"Program sehari bagi setiap lokasi itu disusun dengan pelbagai pengisian seperti sesi motivasi bersama Ismail, teknik menjawab soalan peperiksaan bagi subjek pilihan UPSR, PMR dan SPM serta sesi susulan bersama sekolah menerusi bengkel dan bahan atas talian.
"Selain itu, para pelajar yang terlibat juga berpeluang bertemu para pelukis dari Utusan Malaysia pada sesi 'Bersama Geng Melukis' yang turut akan diadakan sempena program tersebut," ujarnya.
Katanya, penganjuran Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi SMP itu diharap dapat memberi peluang kepada pelajar yang terlibat untuk menunjukkan bakat mereka dalam bidang akademik serta cemerlang dalam peperiksaan.
"Program tersebut juga diharap mampu memberi faedah kepada pelajar yang terlibat serta membantu mereka mendapatkan pendidikan terbaik sama seperti pelajar lain yang berkemampuan," jelasnya.
Antara sekolah yang terlibat bagi program itu termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) Ketereh, SK Jimah Baru, SK Perwira, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kok Lanas, SMK Kampung Chengal, SMK Datuk Muhammad Yusof dan SMK Sultan Abdullah.

(Artikel ini dipetik daripada Utusan Online pada 27/6/2012)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan